Dalam satu lagi pertikaian besar yang biasa berlaku dalam dunia AI moden, Ziff Davis, IGN Entertainment dan Everyday Health Media telah mengambil tindakan undang-undang terhadap OpenAI atas dakwaan pelanggaran hak cipta.
Syarikat media ini mendakwa OpenAI telah melanggar hak cipta, melanggar Akta Hak Cipta Milenium Digital (*DMCA*), mendapatkan keuntungan secara tidak adil, serta mencemarkan tanda dagangan mereka. Untuk makluman, IGN dan Everyday Health Media merupakan cabang di bawah Ziff Davis.
Ziff Davis mendakwa bahawa, “OpenAI dengan sengaja dan secara berterusan telah menyalin bulat-bulat dan menghasilkan karya terbitan daripada kandungan Ziff Davis tanpa kebenaran rasmi daripada pihak kami.”
Dalam tuntutan saman tersebut, OpenAI didakwa menyalin kandungan daripada laman web Ziff Davis tanpa izin, malah dikatakan telah mengabaikan arahan bertulis Ziff Davis untuk menghentikan perbuatan itu. Selain itu, OpenAI juga dituduh membuang maklumat pengurusan hak cipta daripada kandungan asal sebelum didakwa mempersembahkan karya tersebut seolah-olah ia milik mereka sendiri. Malah, mereka turut dikatakan mengaitkan hasil keluaran mereka kepada Ziff Davis walaupun kandungan itu sebenarnya bukan daripada Ziff Davis.
Seorang jurucakap dari pihak OpenAI menjelaskan, “ChatGPT membantu meningkatkan kreativiti manusia, memacu penemuan saintifik dan penyelidikan perubatan, serta membolehkan ratusan juta orang memperbaiki kehidupan harian mereka. Model kami menyokong inovasi, dilatih menggunakan data yang tersedia secara umum, dan berlandaskan konsep fair use.”
Association of Research Libraries turut berkongsi sedikit latar belakang mengenai isu ini.
Ziff Davis turut menekankan bahawa mereka telah menghasilkan karya kewartawanan berkualiti tinggi selama hampir 100 tahun, bermula dari penerbitan Popular Aviation sehinggalah kini mengurus lebih 45 jenama media digital dan internet yang pelbagai, termasuk IGN, Mashable, CNET, ZDNet, PCMag, Lifehacker, BabyCenter, dan Everyday Health.
Setiap tahun, Ziff Davis menghasilkan hampir 2 juta artikel dan kemas kini artikel, termasuk lebih 5,000 ulasan produk — di mana mereka memegang hak eksklusif terhadap semua kandungan tersebut.
Selain itu, Ziff Davis juga mendakwa bahawa OpenAI melatih model AI mereka menggunakan kandungan Ziff Davis walaupun pihak Ziff Davis telah mengarahkan *web crawler* supaya tidak mengambil data mereka melalui penggunaan robots.txt file.
Sumber: Venturebeat »